Sunday, April 7, 2013

Pokok Mulberi

Alhamdulillah... pokok mulberi yang ditanam telah berbuah. Tengah hari tadi sempat memetik buah yang telah masak. Manis dan sedap rasanya.....






KHASIAT POKOK MULBERI

Mulberi merupakan tumbuhan asli di bahagian tengah dan timur China. Dikenali dengan nama botaninya, Morus Alba, pokok mulberi yang ditanam di negara China adalah Mulberi putih. Pokok mulberi lain yang menghasilkan buah berwarna hitam dan merah pula banyak ditanam di negara-negara beriklim tropika dan sub-tropika.

Salah satu kegunaan bahagian pokok Mulberi, terutama daunnya adalah sebagai makanan utama ulat sutera. Maka disebabkan itulah jika di Malaysia, daun pokok Mulberi dikenali sebagai daun ulat sutera atau besaram.

Buah Mulberi mengandungi asid sitrik, gula dan vitamin C. Daun Mulberi pula mengandungi adenin, amilas, asid suksinik, karotena dan kolin. Biji Mulberi mengandungi ureas. Manakala kulit akar pokok mulberi mengandungi beta-amirin, minyak meruap, resinotanol dan sitosterol.

Bagi masyarakat di negara China, selain buahnya boleh dimakan segar atau dibuat jem, terdapat juga kegunaan lain. Secara tradisionalnya, buah Mulberi telah digunakan sebagai agen ubatan bagi memberi khasiat kepada yin dan darah, memberi kebaikan kepada buah pinggang dan merawat masalah lemah, keletihan, anemia dan masalah rambut beruban.

Kuatkan sistem cerna dan serapan

Buah Mulberi turut digunakan untuk merawat masalah ketidakbolehan mengawal keluarnya air kencing, pening dan masalah sembelit warga tua. Disebabkan banyak khasiatnya, maka jus Mulberi telah dihasilkan secara komersial sebagai makanan kesihatan dan amat popular di China, Jepun dan Korea. Bukan itu sahaja, buah yang telah dikeringkan juga boleh dijadikan sebagai pengganti kismis.

Buah Mulberi juga dikatakan mampu memberi khasiat dan merangsang penghasilan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah kekurangan cecair, mulut mereka agak kering dan lidah terasa panas. Elok juga mereka makan buah ini bagi memberi khasiat dan menambahkan cecair badan. Mereka yang mengalami masalah mata kering akibat keletihan mata dan akibat bekerja boleh juga mengambil jus mulberi bagi menambahkan cecair badan dan menguatkan penglihatan.


Buah Mulberi juga mengandungi unsur-unsur khasiat seperti mineral dan vitamin. Dikatakan dengan memakan buah Mulberi, mampu membantu menyembuhkan penyakit kronik pada saluran pencernaan, merangsang rembesan cecair gastrik, menguatkan kebolehan bagi mencerna dan menyerap, memperbaiki selera makan dan membuang kembung perut dan sembelit. Wanita yang mengalami simptom-simptom seperti anemia, kepucatan, rasa pening, sukar untuk tidur dan jantung berdebar-debar dengan kerap terutamanya selepas melahirkan bayi, bolehlah mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan simptom-simptom tersebut.

Di samping itu buah juga boleh meningkatkan tenaga, mata, minda, mabuk laut, sengal badan, telinga berdesing,sakit pinggang, sakit tekak dan penyubur darah,

Cara Pengambilan: Buah boleh dimakan, di buat jus atau jem. Daun muda boleh dibuat ulam atau sayur. Daun muda atau tua boleh di keringkan untuk dijadikan teh.
Ranting dan akar dikeringkan dan larut dalam air untuk diminum. Ranting digunakan merawat sakit gigi dan cacing

Ubat kebas tangan dan kaki

Daun Mulberi pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah kering pula dikatakan boleh dicampurkan dengan air mendidih atau direbus. Air ini dikatakan boleh diminum untuk tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selesema.

Daun yang telah dipanaskan pula dikatakan boleh disapu minyak dan dijadikan sebagai ubat tampal pada luka yang parah. Bagi mereka yang mengalami masalah gigitan atau sengatan serangga, daun yang telah ditumbuk lumat boleh dijadikan sebagai ubat tampal pada bekas gigitan atau sengatan serangga tersebut. Jika mengalami masalah tangan atau kaki yang kebas, bolehlah mengambil getah daripada daun atau ranting mulberi, kemudiannya gosokkan pada bahagian yang kebas.

Daun Mulberi yang dikeringkan dan dijadikan teh berkhasiat untuk:

1. Penawar dan mencegah penyakit kencing manis (diabetes)

2. Mengawal serta mengurangkan kolesterol dalam pembuluh darah

3. Mengawal serta mengurangkan tekanan darah tinggi

4. Membantu mengelakkan serangan sakit jantung

5. Membantu dalam kehilangan berat badan

6. Mengurangkan keadaan asma yang teruk

7. Melambatkan proses penuaan dan meremajakan kekuatan anda

8. Mengurangkan risiko kerapuhan tulang kerana kandungan kalsium yang
tinggi

9. Meredakan batuk, perasaan cemas dan kegelisahan

10. Mengurangkan kesakitan ketika datang haid

11. Membantu perjalanan haid yang tidak teratur

12. Menambahkan tenaga

13. *Meningkatkan produksi susu badan*

14. Membantu mengurangkan migrain, sukar tidur malam (insomnia) dan
hipertensi

15. Memiliki semua 18 asid amino dan mengandungi vitamin B, B1, B2, C,
asid folik, potassium yang amat diperlukan

16. Membantu, mencegah dan mengurangkan risiko penyakit kanser
(antioksidan)

Satu penemuan yang menakjubkan yang dilakukan oleh para penyelidik di Institut Kebangsaan Sains Agrobiologi, Jepun telah mendapati daun Mulberi mengandungi kompaun DNJ (Deoxynojirimcin) di mana ia dapat mengurangkan kemasukan kadar gula ke dalam saluran darah. Ia mengandungi GABA (Gamma Amino Butyril Acid) yang penting untuk mengawal (control) yang mengawal keseimbangan kolesterol dalam aliran darah. GABA adalah agen penenang alami dan agen anti-epilepsi untuk otak yang dihasilkan daripada asid amino glutamin dan glukosa. Mereka yang sering mengalami perasaan cemas, gangguan panik, dan depresi berkemungkinan tidak menghasilkan tahap GABA yang mencukupi yang diperlukan oleh otak.
Oleh itu secara tidak langsung, Teh Daun Mulberi dikatakan boleh membantu menjadi penawar kepada penyakit kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi. Teh Daun Mulberi kaya akan mineral dan vitamin seperti kalsium, kalium (potassium), zat besi (ferrous sulfate), zink, vitamin A, B1, B2, C, 18 asid amino, dan flavonoid atau antioksidan yang mencegah risiko kanser.

Akar pokok Mulberi boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang. Air rebusan kulit pokok mulberi pula dikatakan boleh diminum untuk merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronkitis, busung, menyingkirkan kahak dan hingus, tekanan darah tinggi, kebas tangan atau kaki. Ranting kering pokok mulberi pula dikatakan boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat demam panas dan mengatasi rasa sakit.

1 comment: