KARYA PAHROL
MOHD JUOI
1. Setiap hari adalah penghidupan baru
kepada orang yang bijak. Belajarlah melupakan kelmarin, usah khuatir hari esok
dan berfikir serta bekerjalah untuk hari ini seolah-olah tidak ada esok
bagimu........ dengan perasaan itulah kita akan bekerja tanpa
bertangguh-tangguh. (m/s:68-69)
2. Syukur dan sabar adalah kekayaan jiwa yang
tiada tolok bandingnya. (m/s:67)
3. Akal
'makanannya' ilmu, hati 'makanannya' iman. Iman dan ilmu adalah gandingan
serasi yang tidak dapat tidak mesti dicapai untuk keseimbangan dalam kehidupan
insan. Bijak tanpa ikhlas akan terbabas. Ikhlas tanpa kebijaksanaan adalah satu
kejumudan. (m/s:31)
4. Bercakap
hanya yang baik atau diam. uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu
liar utk dikawal. tersenyumlah dengan penghinaan, redalah dengan kesepian. jgn
takut kepada kelicikan, tipu daya dan diskriminasi manusia. segala itu tidak
merugikan kita. (m/s:27)
5. Orang yang
berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah, manakala orang yang gagal
berubah apabila terpaksa. (m/s:6)
6. Selagi
ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Dan selagi ada perjuangan, selagi
itulah peluang untuk menang sentiasa ada. (m/s:11)
7. Orang yang
menang sesungguhnya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.
(m/s:11)
8. Jangan
mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana
kemewahan dunia hanya untuk ditipunya. (m/s:13)
9. Ingat
mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Biarlah mati sentiasa hidup di hati
kita. (m/s:15)
10. Terimalah
realiti walaupun itu menyakitkan. Menangislah sepuas-puasnya hingga apabila
terasa kesedihan sudah di puncaknya. Namun, selepas itu, alirkan peluh untuk
memperbaiki atau mengubati realiti yang menyakitkan itu. (m/s:69)
11. Susah
dan payah adalah baja yang membina kematangan dalam jatuh bangun diri menuju
Ilahi. Sabar dan syukur adalah minyak pada pelita hidup yang meliuk lentok
dipukul badai kehidupan. Kekadang marak menyala, kekadang berkerdip
berbalam-balam. Namun, padam tidak sekali-kali. (m/s:73-74)
12. Anak-anak
mungkin gagal mengikut cakap kita, tapi
mereka tidak mungkin gagal menurut sikap kita kerana anak-anak ialah
cerminan kita..... ibu bapa mereka. (m/s:77)
13. Kita
akan temui sesuatu yang kita hilang di tempat yang kita kehilangannya. Dan
sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih
baik. (m/s:83)
14. Yakinlah
sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti berlaku. Belajarlah melepaskan. Usah
dicalarkan iman dengan istilah ‘jika’ dan ‘kalau’. Innalillah, reda dan
pasrahlah dengan istirja’. Walau di tangan dan di bawah mata, andai ditakdirkan
hancur, terlepas dan musnah, pasti punah juga. Paling penting, bersangka
baiklah... Allah akan menyelamatkan, Allah akan memberikan ketenangan dan
keamanan. Pahit jadi ubat, manis jadi madu.... tetap menjadi ubat. (m/s:84)
15. Dosa
itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dizalimi tidak akan terhenti
kesannya pada hati. Daripada tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat
lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah
dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa
ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran akan mencengkam hati dan
diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang
terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya. (m/s:92-93)
16 Kejahatan
yang menyebabkan kau menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan
rasa takbur. (m/s:92)
17. Acap
kali sesuatu yang kita cinta menjadi sebab ujian daripada Allah. Oleh itu,
cintailah sesuatu berpada-pada, bila Allah uji kita dengannya, kita tidak
terlalu menderita. (m/s:96)
18. Memaafkan
orang lain bererti memaafkan diri sendiri. Hidup terlalu singkat untuk
membenci. Sucikanlah hati mencari Ilahi. (m/s:101)
19. Jika
dirimu masih melakukan kejahatan, ingatlah itu bukan alasan untuk berhenti
melakukan kebaikan. Bahkan iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan kerana
kebaikan itu lambat cepat akan menghapuskan kejahatan. (m/s117)
20. Saat
perpisahan itu pasti tiba. Tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang
tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup
mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah
hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini (dunia) untuk diuji, tiba masanya
pasti kembali. (m/s:119)
21. Tidak
ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak
diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa,
pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang untuk bersyukur. Allah
berikan kita gelap untuk bersabar. (m/s:120)
22. Jika
tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi
nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat.
Setiap kita mempunyai kelebihan. (m/s:121)
23. Terimalah
kesusahan yang sementara demi kesenangan yang abadi. Dunia tempat menyemai, di
akhirat nanti kita menuai. (m/s:3)
24. Bila
harta hilang keberkatan, sedikitnya tidak cukup, banyaknya tidak puas, terasa
miskin dalam kekayaan. (m/s:34)
25. Kekadang
menyerahkan satu amanah lebih payah daripada menanggungnya kerana lebih sukar
mempercayai orang lain berbanding mempercayai diri sendiri. (m/s:50)
26. Usah
sama sekali membenci kerana kebencian akan membakar diri sendiri bukan orang
yang kita bencikan itu. (m/s:56)
27. Perbuatan
baik adalah suatu perbuatan yang membuat jiwa tenteram dan hati menjadi tenang.
Dan perbuatan dosa adalah perbuatan yang menjadikan jiwa goncang dan hati
gusar, sekalipun kamu mendapat petua daripada ahli fatwa. (m/s:54)
28. Jangan
melupakan Allah dalam memburu kasih sayang manusia kerana dengan melupakan
kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Apabila melihat kebaikan
sahabat, rasailah itu hakikat kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan
atau kelemahannya, percayalah... itulah cara Allah menguji kita. Dengan itu,
mudahlah kita hapuskan sengketa. (m/s:61)
29. Masa
lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir,
tapi selamatkan hari ini. Hari ini yang terus hidup. Ramai orang terperangkap
oleh tragedi yang berlaku masa lalu. Ramai juga yang bimbang oleh prasangka
kesusahan masa hadapan. Kesusahan yang belum datang sudah dirisaukan. Apabila
kesusahan benar-benar datang, sekali lagi dibimbangkan. Berbaloikah? (m/s:68)
30. Jadilah
insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi
insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa.
(m/s:120)
31. Ukirlah
seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu
dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan
mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan
kalah selagi tidak mengalah. (m.s.:120)
32. Sesungguhnya
mati itu bukan satu pengakhiran, tetapi ia satu permulaan kepada kehidupan yang
lebih sejati dan hakiki.
33. Jagalah
lidah agar diberi kemantapan akidah. Jagalah mata agar diberi kemantapan jiwa.
Jagalah hati agar diberi nur yang menyinari. (m/s:143)
34. Ujian
menjadi titian kepada kesuburan jiwa. Masalah jadi anak tangga menuju kehalusan
rasa. Dan fitnah adalah baja menyubur pohon iman. (m/s:144)
35. Ilmu
itu cahaya daripada Ilahi, memancar keluar melahirkan amal, memancar ke dalam
menzahirkan iman. (m/s:148)
36. Mati
jasad kerana tiada roh, mati roh kerana tiada ilmu, mati ilmu kerana tiada
amal, mati amal kerana tiada ikhlas. (m/s:148)
37. Si
miskin jadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh dengan ketandusan ilmu. Harta akan
habis jika dibelanjakan, tapi ilmu semakin bertambah jika diamalkan. Mencari
ilmu adalah ibadat yang paling lama, tiada batas masa dan usia sempadan
belajar. Seseorang akan tetap menjadi orang alim, selama dia terus-menerus
belajar. Apabila dia telah tertipu dalam sangkaan bahawa dia telah pandai, pada
hakikatnya dia adalah bodoh. (m/s:149)
38. Malam
itu indah, namun penciptanya jauh lebih indah. Jadi, mengapa memuja
malam...tidak penciptanya. (m/s:152)
39. Mujahadah
itu pahit kerana syurga itu manis. Kejahatan itu menyeronokkan pada awalnya,
tetapi pasti ada penyesalan apabila kita
lakukan pada akhirnya. Kebaikan itu menyusahkan pada permulaan, tetapi pasti
ada kemanisan bila dilakukan. Oleh itu, Beribadatlah sehingga kita berasa letih
untuk melakukan dosa. (m/s:162)
40. Keletihan
melakukan kebaikan akan hilang, tetapi pahalanya akan terus berkekalan,
manakala keseronokan melakukan kejahatan akan sirna, tetapi dosanya akan kekal
sampai bila-bila. Dan dosa itu bererti neraka dan neraka itu bererti seksa!
Nauzubillah. (m/s:162)
41. Buatlah
kebaikan sebanyak-banyaknya meskipun setelah ditinggalkan insan yang tersayang
kerana itulah bekalan untuk kita bertemu dengan-Nya. (m/s:174)
42. Kemiskinan,
kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding
kematian. Kematian adalah pemutus segala kebahagiaan. Sama ada kita
ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi atau kita sendiri meninggalkan
mereka. Saat itu adalah saat yang paling derita. (m/s:175-176)
43. Nafsu
bukan untuk dihapus, tapi untuk diurus. Didiklah nafsu agar bekerja untukmu dan
bukannya sebaliknya. (m/s:181)
44. Untuk
membangunkan semangat juang mestilah bermula dengan membangunkan sikap yakin
diri. Dan keyakinan diri pada umat mestilah dimulakan dengan menyalakan
keyakinan diri dalam setiap peribadi muslim. Setiap diri umat Islam mesti ingat
bahawa Allah telah mentakdirkan kita hidup. Bila ini kita terima sebagai
kenyataan, maka kita akan rasa layak untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
(m/s:183)
45. Jika
kita rasa lemah, tidak berdaya... itu bukan ertinya kita memang lemah dan sedia
tidak berdaya, tetapi cuma kita belum mengenali dan menerokai kekuatan diri
yang sebenar. Atau kita telah menemuinya, tetapi belum menggunakannya secara
maksimum. (m/s:183)
46. Keyakinan
diri akan membina sikap proaktif, iaitu sikap yang mencipta peluang bukan
menunggu peluang, mencorak keadaan bukan dicorakkan, mengakui kelemahan diri
dan memperbaikinya bukan menyalahkan orang lain. Inilah sifat mukmin sejati,
iaitu mampu melawan hawa nafsu. (m/s:185)
47. Buatlah
kebaikan yang akan terus hidup setelah kita tiada agar perginya kita
meninggalkan nama yang baik. (m/s:191)
48. Tugas
kita bukan melihat apa yang jauh di hadapan, tapi lakukan apa yang terbaik
dengan apa yang berada di tangan. (m/s:209)
No comments:
Post a Comment